PERUTUSAN

Lafaz Syukur yang tak
terhingga dirafa'kan ke hadrat Allah SWT atas kejayaan kita
dalam menguruskan tugas yang di amanahkan oleh pihak kerajaan
kepada Pejabat Mufti Negeri Sarawak dengan rahmat dan berkat
daripada Allah SWT. Selawat dan salam kita hadiahkan buat Rasulullah
SAW Junjungan Mulia, kaum keluarga dan para sahabat Baginda.
Alhamdulillah, dengan
berkat dan kurnia dari Allah SWT Pejabat Mufti Negeri Sarawak
mampu berganding dengan Agensi-Agensi Islam di seluruh Malaysia
pada amnya dan khususnya di Sarawak.
Dengan kepesatan teknologi
dan ledakan maklumat yang begitu pesat berkembang merupakan
salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh umat Islam masa
kini. Era langit terbuka yang kita sedang alami ini sebenarnya
menyediakan pelbagai ruang dan peluang ilmu untuk dimiliki.
Ia juga menjadi ancaman dan cabaran yang perlu ditangani dengan
dedikasi dan berhikmah. Laman ini adalah salah satu kemudahan
berinteraksi secara ''online'' yang menjadi wasilah Dakwah Islamiah.
Justeru, Pejabat Mufti Negeri Sarawak mengambil inisiatif untuk
menggunakan peluang ini sebaik-baiknya.Dengan adanya kemudahan
ini, para pengguna diberi peluang untuk mengenali pejabat ini
dengan lebih dekat dan mesra serta mendapatkan input-input ilmu
pengetahuan yang dimuat di dalamnya.
Adalah menjadi harapan
semoga laman web Pejabat Mufti Negeri Sarawak sedikit sebanyak
dapat memberi sumbangan kepada seluruh umat Islam. Di samping
itu sebarang cadangan mahupun teguran membina amat dialu-alukan
bagi memperkemaskan lagi laman web ini demi faedah bersama.
Selain itu, dengan adanya laman web ini, mudah bagi kita untuk
merealisasikan hasrat dan harapan bagi melihat umat Islam mencapai
kegemilangan sejajar dengan tema "Menjana Ummah
Gemilang" dan tuntutan Islam. "BERSATU
BERUSAHA BERBAKTI".
DATU HAJI LOLING
OTHMAN BIN HAJI ALWI