Islam diturunkan Allah dengan penuh
kesempurnaan. Nabi Muhammad s.a.w adalah Rasul untuk
menyampaikan segala apa yang diperintahkan Allah SWT.
Ulama ialah golongan yang mewarisi tugas kenabian tersebut
untuk menyampaikan Islam dengan cara yang terbaik.
Penerimaan masyarakat kita berbeza
terhadap apa yang disampaikan oleh Ulama', sehingga
berlakunya pengamalan pada perkara-perkara yang berkaitan
dengan agama ini juga berbagai-bagai sehingga ada yang
sangat prihatin pada perkara ranting tetapi kurang prihatin
pada perkara asas atau didiamkan perkara asas tetapi
dizahirkan perkara ranting.
Sepatutnya apa yang kita lakukan ialah
kita berilah keutamaan pada perkara yang asas berbanding
pada perkara ranting. Misalnya perkara yang berkaitan
dengan iman yang tepat, ibadah fardhu dari segi asasnya
inilah perkara utama.
Kemunduran sesuatu umat berlaku disebabkan
oleh berbagai faktor, salah satunya ialah jika umat
tersebut tidak memahami keutamaan serta perlaksanaan
sesuatu yang tidak mengikut keutamaannya. Adakalanya
orang lain telah maju daripada kita, sedangkan kita
baru melangkah dan yang paling bahaya belum memulakan
apa-apa tindakan.
Justeru setiap umat perlu proaktif
dan mahir dalam melakukan sesuatu, misalnya dalam perkembangan
semasa antara tuntutan menguasai sains dan teknologi
dengan bidang lain, maka umat Islam perlu berusaha menguasai
bidang ini. Sebab itulah dalam hal Ilmu fardhu kifayah,
Islam juga sangat menitik beratkan hal ini, tuntutan
ini akan berterusan selama mana tiada dikalangan umat
Islam itu menguasai bidang sains tersebut.
Harapan kita agar seluruh umat Islam
dapat meningkatkan kefahaman dalam segenap bidang dan
bijak memilih keutamaan demi memajukan hidup di dunia
dan mencapai kesejahteraan hidup yang hakiki di akhirat
nanti.
Wassalam, salam hormat.