Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Kemaskini Pada: 28 Jul 2017
Versi 8.0.2
Jumlah Pelawat
452772
'EDUL ADHA
Tarikh : 02 Sep 2016  Sumber Berita: BAHAGIAN FATWA
 

IBADAH QURBAN DAN PERSOALAN BERKAITAN

Qurban ialah menyembelih binatang tertentu pada Hari Raya Haji (selepas solat sunat Aidil Adha) dan hari-hari Tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah kerana beribadah kepada Allah S.W.T.

Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj, ayat 36:

Maksudnya: "Dan telah Kami jadikan unta-unta itu sebahagian daripada syi'ar Allah, kamu memperolehi kebaikan yang banyak daripadanya, maka sebutlah nama Allah ketika kamu menyembelihnya dalam keadaan berdiri (dan telah diikat). Kemudian apabila telah roboh (mati), maka makanlah sebahagiannya dan beri makanlah orang yang rela dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang meminta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur."

 (Surah al-Haj : 36)

Pensyariatan Ibadah Qurban

Qurban telah disyariatkan pada tahun kedua hijrah sama seperti ibadah zakat dan solat Hari Raya. Pensyariatannya sabit dengan al-Quran, Sunnah dan Ijma’. Dalil al-Quran ialah firman Allah SWT dalam surah al-KhaUthar, ayat 2:

Maksudnya:  Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah qurban.

 Terdapat beberapa hadith yang menyatakan pensyariatan qurban. Antaranya ialah hadith ‘Aishah yang menyebut:

            أن رسول الله (ص) قال: ما عمل آدمي من عمل يوم النحر أحب إلى الله من إهراق الدم، إنه ليأتي يوم القيامة بقرونها وأشعارها وأظلافها ، وإن الدم ليقع من الله بمكان قبل أن يقع من الأرض، فطيبوا بها نفسا

 (رواه الترمذى)

 Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Tiada suatu amalan anak Adam pada Hari Nahar yang lebih disukai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (qurban). Pada Hari Kiamat ia akan datang dengan tanduk, bulu dan kukunya dan sesungguhnya darah (qurban) akan menitik pada suatu tempat di sisi Allah sebelum ia menitik ke bumi. Oleh itu perelokkanlah diri kamu dengan melakukannya.

(Hadith Riwayat al-Tirmizi)

 Dan hadith Anas bin Malik telah berkata:

ضحى رسول الله (ص) بكبشين أملحين أقرنين ذبحهما بيده وسمى وكبر ووضع رجله على صفاحهما.

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mengorbankan dua ekor kibasy yang putih bertanduk Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangannya sendiri sambil mengucap bismillah dan bertakbir dan meletakkan kakinya di atas sebelah rusuk binatang tersebut.

(Hadith Riwayat al-Tirmizi)

Fuqaha' sepakat mengatakan bahawa orang yang dituntut melakukan korban ialah mereka yang beragama Islam, merdeka, akil baligh, bermukim serta berkemampuan.

Berkemampuan ialah seorang yang mempunyai harta atau wang yang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka yang di bawah tanggungannya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyriq.

 

SOALAN 1 :

Saya mewakili ahli sebuah persatuan ingin bertanya satu soalan kepada ustaz berhubung dengan cadangan pelaksanaan ibadah qurban secara  giliran  seperti berikut:

Persatuan kita dianggotai oleh 100 ahli. Setiap seroang ahli akan meyumbang RM20.00 sebulan, setiap bulan. Kalau sumbangan tersebut dimulakan pada bulan ini, maka genap 12 bulan pada bulan sept 2013, sumbangan terkumpul ialah RM24,000 (sumbangan sebulan RM2000 x 12). Diandaikan dengan wang terkumpul sebanyak RM24,000 6 ekor lembu mampu dibeli dan seramai 42 peserta akan terlibat sebagai giliran (giliran ini boleh dibuat secara undian atau kaedah yang dipersetujui bersama). Kaedah yang sama akan teruskan pada tahun-tahun berikutnya sehinggalah kesemua 100 ahli tersebut mendapat giliran masing-masing.

 

Dari segi konsep dan pandangan kita sebagai manusia ianya adalah suatu kaedah yang baik, beban dikongsi secara bersama disamping berpeluang untuk melaksanakan ibadah qurban, tapi dari segi hukumnya bagaimana pula? Adakah kaedah ibadah qurban boleh dilakukan cara itu, berdasarkan konsep giliran ini khususnya yang tersenarai dalam giliran pertama dan kedua (kalau ibadah qurban dijalankan pada 2013 & 2014) ia bermakna bahagian yang disumbangkan oleh peserta bagi tujuh bahagian untuk seekor lembu berharga RM4,000 seekor adalah tidak mencukupi tapi masih mampu melaksanakan ibadah qurban kerana sumbangan peserta lain yang gilirannya belum tiba. Itulah yang menjadi persoalan dan pertanyaan saya samada ianya dibenarkan oleh syarak dan pakah hukumnya?

JAWAPAN:

Korban merupakan suatu ibadah yang amat dituntut dan ia dikerjakan pada Hari Raya Korban dan Hari-Hari Tasriq dengan menyembelih haiwan al-An’am.

Imam Syafie berpendapat bahawa hukum melakukan ibadah korban ini adalah ‘sunat muakkad’ (sunah yang amat digalakkan atau dituntut) ke atas setiap individu muslim yang merdeka, berakal, baligh serta berkemampuan (iaitu seseorang yang mempunyai harta atau wang melebihi perbelanjaan untuk dirinya sendiri dan mereka di bawah tanggungnya, sama ada makan, pakaian dan tempat tinggal pada sepanjang hari raya dan hari tasyriq) melakukannya sama ada sedang mengerjakan haji ataupun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Melakukan ibadah korban dengan mengumpul dana sebagaimana yang dilakukan oleh pihak tuan adalah diharuskan kerana ianya dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk sama-sama merasai ibadah tersebut dan termasuk sebagai amalan tolong-menolong dalam perkara kebajikan sebagaimana firman Allah.

Maksudnya: “… Tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran, dan bertakwalah kamu kepada Allah, Sesungguhnya Allah Amat berat siksa-Nya”.

(Surah al-Maidah: 2)

Walaubagaimanapun, beberapa perkara perlu diambil perhatian agar ianya tidak menimbulkan sebarang perselisihan yang boleh mendatangkan mudharat seperti berikut :

1.      Mendapat persetujuan daripada semua pihak

2.     Memastikan kebajikan dan hak semua ahli dijaga dengan tidak menggunakan wang tersebut untuk kepentingan lain.

3.     Memastikan agar semua ahli dapat melakukan ibadah korban secara bergilir dengan adil dan saksama.

 

Wallahu a’lam

SOALAN 2:

Bolehkah melaksanakan ibadah  Qurban menggunakan lembu yang disumbangkan oleh orang bukan Islam?

JAWAPAN:

Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Ke 19 pada 22 Jun 2011  sebulat suara menerima sighah keputusan Hukum Haiwan Yang Disumbangkan Oleh Orang Bukan Islam Dan Hal Yang Berkaitan Dengannya Pada Hari Raya Korban

seperti berikut :

i.          Hukum menerima haiwan yang disumbangkan oleh orang bukan Islam adalah harus atas dasar keharusan bermuamalat dengan orang bukan Islam.

ii.         Jika haiwan tersebut dinyatakan oleh pemberi (yang bukan Islam) untuk dijadikan korban maka hukum korbannya tidak sah, sebaliknya ia hanya dianggap sumbangan kepada pihak penerima kerana korban tidak dituntut ke atas orang bukan Islam. Bagi mereka yang menerima haiwan tersebut bolehlah menjadikan ia korban dan hukum korbannya sah kerana haiwan tersebut telah menjadi milik penerima.

iii     Bagi masjid/ surau atau institusi adalah harus digunakan untuk apa-apa tujuan yang menepati syarak.

SOALAN 3 :

Siapakah yang berhak menerima daging qurban? yang kebiasaan diagih ke rumah jiran-jiran sekampung/taman perumahan

JAWAPAN:

Ibadah Qurban  merupakan amalan yang sangat digalakkan sebagai tanda syukur pada  Allah S.W.T. Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 2 yang bermaksud :

 “Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berqurbanlah”

Dalam pemasalahan kepada siapakah daging kurban di agihkan, ia adalah seperti berikut :

i.      Jika ia merupakan Qurban Wajib dan Qurban Nazar :

Daging qurban  tersebut  wajib disedekahkan kesemuanya. Tidak harus ke atas orang yang berqurban itu dan mereka yang di bawah tanggungannya memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka wajib diganti  kadar yang dimakan itu  tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

ii.     Jika ia merupakan Qurban Sunat :

Adalah harus bagi orang yang berqurban makan daging qurban tersebut dengan syarat menyedekahkan sebahagiannya. Afdalnya ialah dia makan sedikit untuk mendapat keberkatan dan selebihnya disedekahkan.

Firman Allah dalam Surah al-Haj ayat 28 yanag bermaksud:

“Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir”.

Dia juga boleh makan 1/3 bahagian,  menyedekahkan 1/3 bahagian kepada fakir dan 1/3 bahagian lagi dihadiahkan kepada sahabat handai dan jiran tetangganya sekalipun mereka kaya. Akan tetapi meraka yang kaya tidak boleh menjualnya kerana pemberian qurban itu sebagai hadiah untuk dimakan. Sementara daging yang disedekahkan kepada fakir telah menjadi hak miliknya dan terpulang kepadanya sama ada hendak makan atau melakukan apa saja mengikutnya kehendaknya seperti menjualnya.

Daging aqiqah dan qurban harus dimakan oleh orang bukan Islam dalam keadaan tertentu dan  Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali ke-16 yang telah bersidang pada 04 November 2009 telah memutuskan berkenaan Hukum Daging Qurban Bagi Orang Yang Bukan Islam seperti berikut:

“Daging Qurban Sunat boleh dimakan atau diberikan kepada orang bukan Islam dalam masalah terpencil (dalam keadaan tertentu) atas sebab maslahat dakwah dalam masyarakat majmuk, sementara Qurban Wajib adalah tidak harus”.

Oleh yang demikian, adalah harus mengagihkan daging Qurban kepada jiran sekampung atau taman perumahan.

SOALAN 4

Saya ada tiga orang anak, seorang lelaki dan dua orang perempuan yang berumur antara 4 hingga 9 tahun. Saya berhajat untuk membuat ibadat Qurban pada hari Raya Haji tahun ini. Jadi bolehkah saya gabungkan (kongsi) ibadah Aqiqah untuk anak-anak saya itu dengan seekor lembu yang akan disembelih itu nanti?

JAWAPAN :

Adalah diharuskan ibadah Qurban dan ibadah Aqiqah itu dikongsi dalam seekor lembu yang disembelih.

Harus mencampurkan akikah dan Qurban dalam satu haiwan sembelihan kerana maksud dan tujuan penyembelihan ialah untuk taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah Taala.