Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 16 Okt 2018
Versi 8.1.2
PENJELASAN HUKUM
Tarikh : 24 Sep 2018  Sumber Berita: BAHAGIAN FATWA
 
HUKUM MENGGUNAKAN MASK (PENUTUP MULUT DAN HIDUNG) BAGI JEMAAH HAJI DALAM IHRAM DAN UMRAH musk

Mesyuarat sebulat suara menerima sighah keputusan seperti berikut:

1.1      Mencegah penularan wabak yang boleh membahayakan nyawa dan kesihatan semasa menunaikan ibadah haji atau umrah amat dituntut oleh Islam.

1.2      Oleh itu, dalam keadaan di mana sesuatu penyakit itu telah menjadi wabak, Islam memberi pengecualian dan kelonggaran kepada para jemaah untuk menutup sebahagian muka sebagai langkah pencegahan walaupun ia merupakan perkara yang dilarang semasa menunaikan ibadah haji atau umrah dan dalam keadaan tersebut mereka tidak perlu membayar dam.

Keterangan/ Hujah:


1.  Menjaga kesihatan badan lebih-lebih lagi ketika mengerjakan ibadah haji dan umrah di Makkah adalah sangat-sangat dititikberatkan oleh Islam. Oleh itu setiap jemaah haji perlu mengikut langkah-langkah pencegahan terutama penggunaan mask bagi menjaga kesihatan diri mereka daripada dijangkiti penyakit berbahaya.

2.  Penularan wabak ini perlu kepada usaha pencegahan supaya diri terus terpelihara dan sihat serta dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna. Di dalam kaedah fiqhiyyah: الحاجة تنـزل منـزلة الضرورة )  ( iaitu hajat menepati darurat. Maksud hajat ialah jika tidak disempurnakan nescaya melibatkan atau mendatangkan kesukaran atau kesusahan.

3.  Seseorang lelaki yang berihram dilarang daripada menutup semua bahagian kepalanya atau sebahagiannya dengan apa sahaja yang boleh dikira sebagai menutupnya, sama ada pakaian berjahit ataupun tidak. Semua larangan ini dikecualikan jika terdapat keperluan yang memaksa seperti untuk tujuan pengubatan dan rawatan.

4.  Di dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karangan Prof. Dr. Wahbah al-Zuhayli menyebutkan mengenai larangan ke atas perempuan yang menutup seluruh anggota badan termasuk wajah kerana ihram perempuan adalah pada mukanya.

5.  Walau bagaimanapun, dalam keadaan di mana ia dianggap sebagai satu bentuk keuzuran yang tidak dapat dielakkan kerana jemaah haji terpaksa menutup muka dan hidung (sebahagian muka) kerana disebabkan sesuatu wabak, maka diharuskan bagi jemaah lelaki dan wanita untuk menutup sebahagian mukanya.

6.  Semasa menunaikan haji atau umrah, terdapat perkara-perkara yang dilarang melakukannya dan dianggap berdosa dan diwajibkan membayar dam, walau bagaimanpun pertimbangan keadaan umat Islam masih diambilkira oleh Islam dalam hukum yang ditetapkan.

7.  Dalam keadaan dharurat di mana suatu penyakit telah menjadi wabak yang mengancam nyawa seperti H1N1, tindakan pencegahan yang diambil bagi melindungi nyawa adalah dibenarkan oleh Islam dan tidak dikenakan dam (denda) walaupun ia merupakan perkara yang dilarang dalam keadaan biasa selaras dengan kaedah fiqhiyyah:

 ( درء المفاسد مقدم على جلب المصالح )

Maksudnya: Menghindarkan kerosakan lebih diutamakan daripada mencari  kemaslahatan.