Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
Kemaskini Pada: 26 Sept 2017
Versi 8.0.2c
Jumlah Pelawat
551487
SEMASA
Tarikh : 25 Nov 2016  Sumber Berita: BAHAGIAN FATWA JMNS
 

DAMIA

 

1. Pengenalan

Baru-baru ini nama ‘Damia’ telah viral di media sosial kerana dikatakan membawa maksud “tempat keluar darah” sehingga Jabatan Mufti Negeri Sarawak mendapat pertanyaan daripada masyarakat berkaitan hal ini.

2. Pilihan Pada Nama Damia

 

2.1   Beberapa takrifan telah diberikan pada makna Damia dari sudut namanya, perbuatan serta dari sudut istilah bahasa dan fiqhnya, antaranya ialah:

2.1.1    Damia (دامية) adalah nama tempat di Jordan. Ia terletak bersempadan dengan Palestin.

2.1.2    Damiya' (دامياء) pula bermaksud kebaikan dan keberkatan. Lihat al-Qamus al-Muhit dan Mu’jam al-Ra’id.

2.1.3    Damiah (دامية) pula berkaitan dengan darah. Iaitu luka yang berdarah yang tidak mengalir. Lihat al-Qamus al-Muhit dan juga al-Mu’jam al-Ma’ani al-Jami’.

2.2   Perbuatan iaitu daripada perkataan Damia:  وَقَدْ دَمِيَ كَرَضِيَ 

Maksudnya: “Dan sesungguhnya dia telah berdarah, sama seperti perkataan radiya (dari segi wazannya).” Lihat al-Qamus al-Muhit.

(Bayan Linnas Siri 78: Polemik Nama Damia, Elok atau Tidak? http://muftiwp.gov.my/index.php/ms-my/perkhidmatan/bayan-linnas/891-bayan-linnas-siri-78-polemik-nama-damia-elok-atau-tidak)

2.3   Para fuqaha berbeza pandangan terhadap pengertian Al-Daamiyah:

2.3.1    Malikiyyah dan Syafi’iyyah menggunakan makna dari sudut bahasa.

2.3.2    Kata ulama’ Malikiyyah: Damiah adalah sesuatu yang memberatkan kulit lalu terpercik darah darinya tanpa terkoyaknya kulit.

2.3.3    Kata ulama Syafi’iyyah: Damiah adalah sesuatu yang keluar tanpa mengalirnya darah. (Al-Manhul Jalil 4/364, Hasyiah Dasuqi (4/250-251), Mughni Muhtaj 4/26).

2.3.4    Majoriti Hanafiyyah pula mengatakan: Damiah adalah sesuatu yang mengeluarkan darah dan mengalirkannya tanpa menampakkan tulang.

2.3.5    Inilah pendapat yang turut dipegang oleh golongan Hanabilah yang menamakan Damiah dengan perkataanالْبَازِلَةَ  (Al-Baazilah) dan الدَّامِغَةَ (Al-Daamighah). (Hasyiah Ibn Abidin, 5/372-373), Badai' Sonai' 7/296).

3.     Tanggungjawab Ibu Dan Bapa

3.1   Memberikan nama yang baik kepada anak adalah tanggungjawab kedua ibu bapa tanpa menafikan keutamaan kepada bapa dalam hak memberikan nama anak. Perbincangan dan kesepakatan keduanya adalah jalan terbaik agar kedua-duanya, iaitu ibu dan bapa kepada anak tersebut berasa lega atas setiap keputusan yang dibuat. Walau bagaimanapun nama yang diberi hendaklah nama-nama yang baik dan tidak membawa makna yang bertentangan dengan syariat. Al-Mawardi r.h. menyatakan:

“Apabila seorang bayi lahir maka kemuliaan dan kebaikan yang pertama kali diberikan kepadanya adalah memilihkan untuknya nama yang baik, kerana sesungguhnya nama yang baik dapat menyentuh hati seseorang ketika mendengar nama tersebut”. (Nasihatul Muluk: m/s 167)

4.     Panduan Memilih Nama Anak

4.1   Memberikan nama bagi anak lelaki dengan Abdullah dan Abdurrahman berdasarkan hadis yang diriwayatkan Muslim dalam Kitab Sahihnya dari Ibnu Umar r.h. dari Nabi SAW, baginda bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya nama yang paling dicintai Allah adalah Abdullah dan Abdurrahman.” (HR. Muslim no. 2132)

4.2   Memberikan nama yang menunjukkan penghambaan diri terhadap salah satu dari nama-nama Allah SWT, seperti Abdul Malik (عبد الملك), Abdul Basir (عبد البصير), Abdul ‘Aziz (عبد العزيز) dan lain-lain.

4.3   Nama tersebut diambil dari nama-nama orang-orang soleh dari kalangan nabi, rasul dan orang soleh lainnya. Maksudnya agar dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara mencintai dan menghidupkan nama mereka serta melaksanakan apa yang dicintai oleh Allah SWT dengan memilih nama para wali yang telah membawa agamaNya. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah bin Syu’bah r.a., Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud:

“Mereka dahulu suka memakai nama para nabi dan orang-orang soleh yang hidup sebelum mereka.” (HR. Muslim no. 2135)

4.4   Memberikan nama yang singkat, hurufnya tidak berjela dan mudah diucapkan serta mudah diingat.

4.5   Memberikan nama yang mempunyai makna yang baik, yang mengandung sifat yang sesuai orangnya (namun dengan syarat nama tersebut tidak mengandungi pujian untuk diri sendiri, tidak mengandungi makna yang buruk atau mengandungi makna celaan), seperti Haris (حارث) (orang yang berusaha) dan Sahal (سهل) (yang menyenangkan/ memudahkan).

5.     Saranan

5.1   Jabatan Mufti Negeri Sarawak berpandangan bahawa:

        “Tiada keperluan untuk menukar nama Damia kerana ianya memberi makna yang pelbagai dan salah satunya Damia/ Damiya’ (دامياء) yang bermaksud kebaikan dan keberkatan. Oleh itu, sekiranya seseorang anak telah dinamakan Damia, maka hendaklah ia dimaksudkan oleh ibu bapanya dengan kebaikan dan keberkatan, dan sekiranya nama ini dieja dalam tulisan Arab/ Jawi, perlulah ditulis (دامياء)”.

5.2   Oleh kerana anak ialah harta dan perhiasan yang direzekikan oleh Allah SWT kepada ibu bapa, maka eloklah anak dinamakan dengan nama-nama yang baik seperti panduan yang telah dijelaskan di atas dan perlu dielakkan daripada menggunakan nama-nama yang boleh menimbulkan kekeliruan.

6.     Penutup

        Semoga pandangan ini dapat memberikan penjelasan dan ketenangan kepada masyarakat Islam terutamanya di negeri Sarawak.

Disediakan oleh:

JABATAN MUFTI NEGERI SARAWAK