Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 27 Mei 2018
Versi 8.0.4b
SAHUR?
Tarikh : 16 May 2018  Sumber Berita: BAHAGIAN FATWA
 

Ada Apa Dengan Sahur?Alhamdulillah, puji dan syukur kita rafa'kan ke hadrat Allah SWT yang memberikan nikmat Iman dan Islam dalam jiwa raga kita untuk terus mengabdikan diri kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Nabi Muhammad SAW yang menebarkan risalah Iman, menjadi panduan dan ikutan kita sepanjang zaman hingga sampai masa yang telah dijanjikan.

Dalam kita meneliti setiap amalan yang ingin kita laksanakan melalui petunjuk Rasulullah SAW, coretan ini ingin menfokuskan satu amalan lazim bagi yang berpuasa, iaitu makan sahur. Allah SWT melalui Rasul-Nya SAW amat menganjurkan kepada umat Islam untuk bersahur kerana padanya terdapat keberkatan. 


Dalam satu hadith daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda:
Hari ini kita telah memasuki hari yang kedua dalam ibadah puasa. Betapa sekejapnya dirasakan sehari yang telah berlalu pada semalamnya. Semoga keberkatan dan segala kebaikan yang terdapat dalam bulan barakah ini sentiasa kita cari dan rebut melalui amalan-amalan yang dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Semua ini merupakan limpahan kasih dan sayang Allah SWT yang Maha Sempurna terhadap hamba-hamba-Nya yang bertaqwa.

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السَّحُورِ بَرَكَةً

Maksudnya:"Bersahurlah kamu sekalian, kerana dalam bersahur itu terdapat keberkatan.”                                                                                (HR al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadith yang lain Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ أَنْ يَصُومَ فَلْيَتَسَحَّرْ بِشَيْءٍ

Maksudnya: "Sesiapa yang mahu berpuasa hendaklah bersahur dengan sesuatu."                                                                       (HR Abu Syaibah, Ahmad, Abu Ya'la, dan Al-Bazzar)

Galakan serta tuntutan bersahur akan memberikan keberkatan seterusnya membuahkan ganjaran pahala yang besar kepada sesiapa yang mengamalkannya.

Selain itu, antara hikmah yang terdapat dalam ibadah bersahur ini adalah ia merupakan pembeza ibadat puasa kita dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani (ahli Kitab). Mereka menjalankan ibadah puasa mereka tanpa perlu bersahur seperti yang dituntut dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

فَصْلُ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ اْلكِتَابِ أَكْلَةُ السَّحَرِ

Maksudnya: "Pemisah (yang membezakan) di antara puasa kita dan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur."                                                                                                (HR Muslim)

Berkata al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani dalam Kitab Fathul Bari:

"Keberkatan sahur itu diperolehi melalui beberapa segi iaitu mengikut Sunnah, menyelisihi ahli kitab, menambah kekuatan dan semangat untuk beribadat, menghindari tabiat buruk yang timbul akibat lapar, menjadi sebab untuk bersedekah kepada orang yang meminta pada saat itu, menjadi sebab untuk berzikir dan berdoa pada waktu yang mustajab serta memberi kesempatan untuk berniat bagi mereka yang belum sempat berniat puasa sebelum tidur."

Allah SWT menetapkan amalan bersahur sebagai sesuatu yang agung disisi-Nya. Limpahan Rahmat dan Pengampunan Allah SWT terbuka luas kepada sesiapa yang bangur untuk makan sahur. Para Malaikat juga sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diampunkan dosa-dosa orang yang makan sahur.

Maka sebab itulah Rasulullah SAW amat menitikberatkan umatnya untuk bersahur walau hanya mampu minum seteguk air dalam sahurnya. Sabda Rasulullah SAW:

السَّحُورُ أَكْلُهُ بَرَكَةٌ فَلا تَدَعُوهُ وَلَوْ أَنْ يَجْرَعَ أَحَدُكُمْ جُرْعَةً مِنْ مَاءٍ فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِينَ

Maksudnya: "Sahur ialah santapan berkat, janganlah kamu semua tinggalkannya walaupun dengan meneguk seteguk air. Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur."                     (HR Ibnu Abi Syaibah dan Ahmad)

Apa lagi yang ada pada ibadah bersahur ini? Sesungguhnya keberkatan sahur bukan setakat pada amalan tersebut, tetapi menyeluruh sehingga pada saat itu doa orang yang berdoa akan dikabulkan oleh Allah SWT. Beruntunglah sesiapa yang merebut peluang yang tersedia dan rugilah bagi sesiapa yang sengaja mengabaikannya

إِنَّهَا بَرَكَةٌ أَعْطَاكُمُ اللهُ إِيَّاهَا فَلاَ تَدَعهُ

Maksudnya: "Sesungguhnya bersahur itu adalah barakah yang Allah berikan kepada kamu, maka janganlah kamu meninggalkannya."                            (HR an-Nasai dan Ahmad)

 

Semoga ibadah sahur yang kita laksanakan sepanjang Ramadhan Mubarak ini sentiasa dinaungi rahmat dan keberkatan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Bangunkanlah ahli  keluarga kita untuk sama-sama bersahur dan mengerjakan ibadah-ibadah sunat yang lain dalam waktu bersahur ini demi mengejar Cinta dan Redha Allah SWT. Wallahu a'lam.

 

Hj. Mohammad Syarifuddin bin Abdul Kadir

Unit Istinbat, Bahagian Fatwa,

Jabatan Mufti Negeri Sarawak