PENGENALAN: AJARAN MILLAH ABRAHAM@IBRAHIM Ajaran Millah Abraham@Ibrahim adalah salah satu daripada ajaran sesat yang menyelinap masuk di Negara ini. Ajaran ini berasal dari Bogor Indonesia. Mereka mendakwa ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم telah berakhir sejak tahun 1324 Hijrah dengan kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiyyah akibat serangan puak Monggol ke atas Baghdad yang telah membuang kitab-kitab khazanah Islam ke dalam sungai dan ajaran Islam yang dianuti kini adalah palsu. Pengasas ajaran ini ialah Ahmad Musaddeq yang telah mengaku sebagai rasul baru yang dibangkitkan untuk membaharui ajaran dan membentuk kerajaan Islam yang sebenar. 1.1.2 Golongan ini mendakwa bahawa Millah Abraham@Ibrahim adalah deen besar yang membawa ke jalan yang lurus lagi benar. Allah telah memerintahkan Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم untuk berkatabahawa jalan yang lurus adalah jalan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim A.S. Ini bermakna Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم telah menegakkan satu sistem kehidupan iaitu sistem Millah Abraham. Setelah kejatuhan Islam pada 1324 Hijrah, mereka mendakwa bahawa golongan musyrik termasuk para ulama’ telah membawa ajaran Islam yang palsu dan hendaklah bertaubat dengan memilih kembali deen Millah Abraham@Ibrahim. Ini berdasarkan dalil-dalil yang mereka ketengahkan seperti surah al-An’am ayat 161 iaitu: Maksudnya: "Katakanlah; Sesungguhnya aku telah ditunjuki oleh Tuhanku kepada jalan yang lurus, (iaitu) agama yang benar; agama Ibrahim yang lurus; dan Ibrahim itu bukanlah termasuk orang-orang yang musyrik". 1.2 MODUS OPERANDI 1.2.1 Mempunyai premis tetap dan terdapat juga penemuan yang tidak ditentukan lokasinya. Antara premis-premis yang digunakan seperti di rumah pengikut, rumah sewa, bangunan pejabat swasta atau kerajaan, rumah kedai dan seumpamanya. Ini berdasarkan surah Yunus ayat 87 yang bermaksud: "(Setelah itu), kami mewahyukan kepada Musa serta saudaranya (Harun): Hendaklah kamu berdua mendirikan beberapa buah rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu sebagai kiblat tempat bersolat dan dirikanlah solat di dalamnya, serta sampaikanlah berita gembira kepada orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan kaumnya)." Mereka tidak membuat program termasuk solat di masjid berdasarkan surah at-Taubah ayat 108 yang melarang untuk menunaikan solat di masjid kerana mereka menganggap masjid dan surau yang ada dibina oleh orang-orang musyrik yang tidak mengikut ajaran Millah Abraham@Ibrahim.
1.2.2 Pengajian dilaksanakan secara talaqqi (bersemuka) dalam kelompok-kelompok kecil sekitar 3 hingga 5 orang dengan dipimpin oleh seorang penyampai (wakil rasul). Mereka yang mengikuti pengajian peringkat awal (pengenalan) akan sentiasa ditemani oleh pendamping (ahli lama) semasa pergi dan balik serta ketika pengajian sehingga proses bai’ah untuk menjadi ahli baru dilaksanakan. Mereka yang telah berbai’ah akan memasuki proses pengajian seterusnya untuk memantapkan iman dan menuju ke jalan yang benar. Penyampai menggunakan nama singkatan dan penampilan mereka pula memakai pakaian biasa yang kemas. 1.2.3 Penyampai menggunakan al-Quran terjemahan sebagai subjek utama dalam pengajian mereka. Penekanan kepada ayat-ayat tertentu untuk dijadikan hujah bagi meyakinkan peserta bahawa Ajaran Millah Abraham@Ibrahim merupakan golongan Islam sebenar dan menanamkan sifat taksub kepada ketua dan ajaran yang dibawa untuk mengembalikan ajaran Islam yang sebenar melalui ajaran Millah Abraham@Ibrahim. Pendekatan ini sama seperti ajaran Negara Islam Indonesia (NII) yang telah difatwakan menyeleweng. Selain itu, mereka juga menggunakan Injil (Bible) sebagai rujukan utama bersama al-Quran terjemahan tersebut untuk menegakkan deen. 1.3 KEAHLIAN 1.3.1 Hasil kajian Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati bahawa keahlian kumpulan ini dilakukan secara teliti dan terancang. Latar belakang peserta adalah mereka yang mempunyai latar belakang agama dan kebanyakannya kurang pengetahuan agama serta mempunyai semangat untuk mempelajarinya, kenalan rapat kepada ahli yang sedia ada, mempunyai sumber pendapatan tetap, latar belakang keluarga yang berada serta mempunyai pendidikan akademik yang tinggi.
1.3.2 Keahlian sesama ahli dalam gerakan dirahsiakan serta mempunyai beberapa lapisan pimpinan yang tidak dapat dikenal pasti. Bilangan ahli kumpulan ini di seluruh Malaysia khususnya di Selangor tidak dapat dikesan, namun berdasarkan aduan dan maklumat mendapati bilangannya melebihi 100 orang. 1.4 PENEMUAN AJARAN DAN AMALAN YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH DAN SYARIAH ISLAM 1.4.1 Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada aduan bekas pengikut, penyamaran dalam kumpulan terbabit dan sumber lain yang boleh dipercayai mendapati kumpulan ini membawa ajaran dan amalan yang bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan syariat Islam antaranya seperti berikut: 1) Membawa ajaran dan kerajaan baru Golongan Millah Abraham@Ibrahim mengatakan bahawa Kerajaan Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijrah. Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-A’raf ayat 34 yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun dan tidak dapat pula mereka didahulukan”. Ini bermakna ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. telah tamat dan Islam yang dibawa selepas itu adalah palsu. Justeru, akan muncul umat dan rasul baru atas nama Kerajaan Millah Abraham@Ibrahim pada tahun 2024 yang akan menegakkan deen. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T. di dalam surah al- An’aam ayat 161 yang telah dinyatakan sebelum ini. 2) Mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W. Mereka mendakwa bahawa ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu dan satu umat baru akan dipertanggungjawabkan untuk menegakkan deen dan ketika itu Allah akan menghantar rasul atau mesiah (bahasa ibrani) seperti sunnatullah yang terdahulu dan mengikut kaum mereka sendiri. Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Yunus, ayat 47 yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap satu umat ada seorang Rasul (yang diutuskan kepadanya) setelah datang Rasul masingmasing (menerangkan apa yang mesti diterangkan) maka hukuman pun dijalankan di antara mereka dengan adil, dan mereka tetap tidak dianiaya.” Mereka menafsirkan bahawa Allah S.W.T. mengutuskan rasul dari kalangan kaum mereka sendiri untuk memudahkan kaum tersebut memahami dan mengajar kaum untuk keluar daripada kesesatan. Maka, Rasul Millah Abraham@Ibrahim diutuskan dari kalangan bangsa Melayu nusantara untuk membaca, menyuci serta mengajar kaum Melayu nusantara ini mengenai agama yang benar. Rasul yang dimaksudkan oleh kumpulan ini ialah Ahmad Musadeq sepertimana yang didakwa oleh pengadu dan pengikut ajaran ini. Kumpulan ini juga mendakwa bahawa di dalam al-Quran surah as- Shaff ayat 6 yang menyebut nama “Ahmad” mengikut tafsiran adalah Nabi Muhammad S.A.W., tetapi maksud sebenar ayat tersebut adalah seseorang yang bernama Ahmad. Selain itu, mereka menafsirkan ayat al-Quran surah al- Ahzab ayat 40 yang mengatakan Nabi Muhammad S.A.W. adalah nabi terakhir, sebenarnya apa yang dimaksudkan Khataman Nabiyyin adalah kesempurnaan deen pada zaman Nabi Muhammad. 3) Mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Abraham@Ibrahim Kumpulan ini telah mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti Millah Abraham@Ibrahim termasuk para ulama’ yang dahulu selepas kejatuhan Islam pada tahun 1324 Hijrah sehingga kini kerana Islam yang dibawa adalah palsu dan telah memecahbelahkan agama serta orang Islam itu sendiri. Justeru, taubat boleh disempurnakan dengan memilih kembali deen Millah Abraham@Ibrahim kerana Nabi Ibrahim bukanlah seorang yang musyrik. Ini berdasarkan dalil di dalam surah an- Nahl, ayat 123 yang bermaksud: “Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut agama Nabi Ibrahim yang berdiri teguh di atas jalan yang benar dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.” Mereka yang tidak mengikut diminta bertaubat dengan kembali kepada deen Millah Abraham berdasarkan dalil di dalam surah Ali-Imran ayat 83 yang bermaksud: “Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan”. Mereka juga mengatakan bahawa sesiapa yang menuduh Millah Abraham@Ibrahim ini sebagai sesat, maka sebenarnya mereka yang menuduh itu telah memperbodohkan diri sendiri. Firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-baqarah ayat 130 yang bermaksud: ”Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi Nabi) di dunia ini dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh (yang tertinggi martabatnya).” 4) Menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Selain terjemahan al-Quran mereka juga menggunakan kitab Taurat dan Injil di dalam pengajian mereka kerana di dalam al Quran telah membenarkan kitab Taurat dan juga menerangkan bahawa kitab Taurat dan Injil sebagai panduan yang menerangi. Sepertimana yang disebut di dalam surah al- Maidah ayat 46 yang bermaksud: ”Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengisahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” Mereka mendakwa ayat ini selaras dengan Injil Metius (perjanjian baru) 5/17. Selain itu mereka juga mendakwa bahawa Taurat, Injil dan al-Quran akan ditegakkan semula dalam kerajaan baru. Firman Allah S.W.T. di dalam surah al- Maidah ayat 68 yang bermaksud: ”Katakanlah: "Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai sesuatu agama sehingga kamu tegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil (yang membawa kamu percaya kepada Nabi Muhammad) dan apa yang diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu (iaitu Al-Quran)" Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad) dari Tuhanmu itu, akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran kepada kebanyakan mereka. Oleh itu janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.” Oleh itu, selain al-Quran mereka mendakwa bahawa keduadua kitab tersebut tidak boleh ditolak untuk dijadikan panduan bagi menegakkan deen. 5) Menyalah ertikan maksud Kiamat Merujuk kepada surah al-An’aam ayat 161, kumpulan ini mengatakan bahawa Kiamat adalah daripada perkataan Arab iaitu qiam iaitu berdiri atau mendirikan. Perkataan kiamat di dalam al-Quran merujuk kepada menegakkan deen iaitu setelah tamatnya umat ini akan ada rasul baru yang akan menegakkan deen dan sistem ini silih berganti sehingga keputusan Allah untuk menamatkan dunia ini. Mereka mendakwa tiada cerita mengenai kiamat di dalam al-Quran. 6) Memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri Ayat-ayat al-Quran ditafsir mengikut logik dan bebas mentakwil mengikut fahaman mereka. Sebagai contoh, surah as- Shaff ayat 6 yang bermaksud: ”Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad". Maka ketika ia datang kepada mereka membawa keteranganketerangan yang jelas nyata, mereka berkata: "Ini ialah sihir yang jelas nyata!". Mereka menafsirkan perkataan Ahmad yang disebut di dalam ayat tersebut bukanlah merujuk kepada Nabi Muhammad S.A.W. tetapi adalah merujuk kepada seseorang yang bernama Ahmad. Begitu juga di dalam penafsiran surah al-An’am ayat 161 sebagai dalil bahawa ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah ajaran yang lurus lagi benar yang dibawa oleh rasul baru mereka adalah satu pentafsiran yang mempunyai kepentingan kepada ajaran tersebut dan mengikut hawa nafsu serta akal tanpa merujuk kepada pentafsiran sebenar oleh ulama’ muktabar. 7) Meninggalkan solat lima waktu dan solat Jumaat Berdasarkan aduan, pengajian dan penelitian terhadap pengikut-pengikut ahli kumpulan ini, didapati bahawa mereka tidak melaksanakan Solat Fardhu yang diwajibkan ke atas semua mukallaf. Mereka mengatakan solat itu ”sillah” iaitu hubungan dengan ajaran Millah tersebut dan makna lain iaitu bersungguh-sungguh menegakkan deen melalui Millah Abraham bukan maksud solat yang dilakukan sekarang oleh orang Islam kerana solat tonggang-tonggek itu senang, tetapi solat menegakkan deen itu lebih mujahadah dari segi harta dan tenaga sepertimana yang disebut di dalam surah al-Hajj ayat 78 yang bermaksud: ”Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia-lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia-lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dia-lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” Selain itu, mereka mengatakan bahawa al-Quran itu telah lengkap dan fungsinya adalah mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya. Tetapi solat lima waktu yang dilakukan sekarang tidak ada disebut di dalam al-Quran. Oleh itu, berdasarkan ayat di atas solat bermaksud bersungguhsungguh menegakkan deen. 8) Taksub dan memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri Kebanyakan aduan yang diterima telah dan hampir melibatkan perceraian serta membuang keluarga walaupun bapa kandungnya sendiri kerana tidak mahu mengikuti ajaran ini dan sikap taksub oleh pengikut terhadap ajaran yang dibawa. Ini berlaku ke atas pengadu yang dikenali sebagai Salamuddin (Pak Din) yang telah ditinggalkan oleh isteri dan anak-anaknya yang terlibat kerana tidak mahu mengikuti ajaran tersebut. Mereka mengatakan bahawa perempuan yang ingin menyertai Millah Abraham wajib si isteri menuntut cerai dari suaminya jika suami menolak menyertai Millah Abraham atau sebaliknya. Mereka merujuk kepada ayat al-Quran surah al- Mumtahanah ayat 11 yang bermaksud: ”Dan jika seseorang dari isteri-isterimu lari kepada orang-orang kafir, lalu kamu mengalahkan mereka Maka bayarkanlah kepada orang-orang yang lari isterinya itu mahar sebanyak yang telah mereka bayar dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya kamu beriman” 9) Perjanjian (Bai’ah) oleh anggota Millah Abraham Kumpulan Milah Abraham juga mewajibkan anggotanya untuk membuat aku janji (bai’ah). Amaran kepada sesiapa yang melanggar janji dan ganjaran bagi mereka yang setia pada janji adalah tertegaknya deen bukannya mengharapkan pahala. Firman Allah S.W.T. di dalam surah al-Fath ayat 10 yang bermaksud: ”Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah. Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya sendiri dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”. 1.5 KEPUTUSAN FATWA BERKAITAN AJARAN MILLAH ABRAHAM@ IBRAHIM. 1. Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak Kali Ke-28 yang bersidang pada 5 April 2016/ 27 Jamadilakhir 1437H telah membincangkan Ajaran Millah Abraham@Ibrahim dan telah memutuskan bahawa: 1. Fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam kerana mengandungi elemen-elemen seperti yang berikut: (i) membawa ajaran dan kerajaan baharu (Millah Abraham @ Ibrahim); (ii) mendakwa ada rasul selepas Nabi Muhammad S.A.W; (iii) mensyirikkan golongan yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (iv) menggabungkan tiga (3) ajaran agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi; (v) menyalahertikan maksud kiamat; (vi) memahami al-Quran mengikut tafsiran sendiri; (vii) tidak melaksanakan solat lima waktu dan solat Jumaat; atau (viii) Taksub kepada ajaran sehingga sanggup memutuskan hubungan keluarga dan suami isteri sekiranya tidak mengikuti fahaman dan ajaran ini. 2. Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan adalah dilarang dan diharamkan untuk berpegang kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham@Ibrahim termasuklah: (i) menjadi pengikut kepada fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (ii) berada dalam majlis, perayaan atau sambutan keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (iii) mengisytiharkan diri sebagai orang yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya melalui pengakuan bersumpah atau apa-apa kaedah lain. (iv) berselindung di sebalik apa-apa aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat, yang mempunyai unsur-unsur persamaan dengan ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (v) melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang cuba menghidupkan kembali fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (vi) mengajar, menganjur, mengadakan, membantu menjayakan apa-apa perayaan, sambutan keraian atau majlis yang boleh dikaitkan dengan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (vii) memiliki, menyimpan, mencetak, menjual atau mengedar filem, rakaman, audio, risalah, buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah atau apa-apa dokumen menggunakan apa-apa bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan fahaman dan ajaran mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; (viii) telah berbai’ah (taat setia) dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim; atau (ix) mengamalkan, menyebarkan dan mengembangkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim di Negeri Sarawak.
3. Mana-mana orang Islam yang telah berbai’ah atau mengamalkan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan hendaklah segera bertaubat serta memohon keampunan kepada Allah S.W.T. 4. Apa-apa variasi, versi, bentuk atau cabang mana-mana ajaran, pegangan atau fahaman baru yang mempunyai persamaan dengan unsur-unsur ajaran, pegangan dan fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim adalah disifatkan mengamalkan ajaran, pegangan dan fahaman yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar. 5. Apa-apa jua bahan publisiti dan sebaran yang menonjolkan ajaran, pegangan atau fahaman mereka yang berpegang dengan fahaman dan ajaran Millah Abraham @ Ibrahim atau apa-apa fahaman dan ajaran yang mempunyai persamaan dengannya dalam apa jua bentuk penerbitan dan cetakan atau siaran dalam mana-mana laman sesawang, blog, facebook, twitter atau media sosial lain adalah diharamkan. 2. KESIMPULAN Berdasarkan penjelasan, maka jelaslah bahawa Ajaran Millah Abraham@Ibrahim merupakan ajaran bertentangan dari ajaran Islam. Oleh itu, umat Islam disarankan supaya menghindari diri dari fahaman, gerakan, ajaran dan menjauhi segala bentuk amalan atau perbuatan ekstremis yang boleh menjejaskan keharmonian, perpaduan dan keselamatan ummah serta Negara. Umat Islam juga dinasihatkan agar sentiasa berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan umat Islam amnya di Malaysia. |