Lain-lain Kemusykilan
 

LAIN-LAIN

1. SOALAN:

Saya mempunyai rakan serumah yang pengkid. Bercinta sesama perempuan.
Ibu bapa rakan saya tahu mengenai anaknya tapi tidak kisah. Saya sudah puas menasihati tapi beliau tetap tidak mahu dengar. Boleh ustaz beri pandangan dengan cara apa lagi saya boleh membantu rakan saya ini selain dari menasihati kerana beliau sudah tidak menghiraukan nasihat saya lagi.

JAWAPAN:

Sighah Keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke – 83 : ”Muzakarah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi Islam”.

Maksudnya: “Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: Rasulullah S.A.W. melaknat  mereka yang menyerupai wanita daripada kalangan lelaki dan mereka yang menyerupai lelaki daripada kalangan wanita”.

Maksud menyerupai dalam konteks hadith di atas termasuklah daripada aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, cara berpakaian dan sebagainya.

Puan janganlah berputus asa dalam menasihati sahabat puan semoga dia mendapat rahmat dan hidayah Allah. Teruskan berdoa dan penuh pengharapan agar sahabat puan berubah.

 

2. SOALAN:

Musykil dengan umur yanag sepatutnya untuk mengkhatan anak perempuan?

JAWAPAN:

Hukum berkhatan bagi anak perempuan menurut sebahagian ulama' ialah sunat dan umur berkhatan bagi anak perempuan ialah dari lahir lagi sehingga mencapai tahap baligh (haid).

 

3. SOALAN:

Salam ustaz, saya mahu bertanyakan, apakah hukum melabur di ASB dan saham-saham lain??..adakah haram??..minta penerangan, terima kasih.

JAWAPAN:

Ahli Lembaga Mesyuarat Negeri Sarawak telah bersidang pada 22 Januari 2002 dan memutuskan bahawa bermuamalah dengan skim ASN adalah harus dan hasil yang diperoleh daripadanya (dividen atau bonus) adalah halal. Amanah Bumiputera ASB perlaksanaannya sama seperti ASN yanag dahulu (sebelum diurusniaga di dalam Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bahkan ia adalah kesinambungan kepada ASN. Bermuamalah atau melabur saham kepada ASB adalah juga harus dan hasil keuntungan daripadanya adalah halal. Tidak diharuskan bagi seseorang itu meminjam wang secara berfaedah yang bertujuan untuk membolehkannya melabur (ASB & ASN). Manakala saham-saham yang lain hendaklah tidak mempunyai unsur-unsur riba, gharar dan maisir.

 

4. SOALAN:

Apakah hukum bermain kuda kepang?

JAWAPAN:

Menurut Fatwa yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Johor, hukumnya adalah haram kerana ianya bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Semua umat Islam dilarang dan ditegah daripada melibatkan diri dengan permainan tersebut.

Keputusan tersebut adalah berdasarkan hujah-hujah berikut;

  1. Terdapat unsur-unsur dalam permainan ini yang bercanggah dengan Aqidah Islamiah antaranya ialah;

Unsur syirik iaitu melakukan jampi dan mantera dengan memohon pertolongan dari jin dan syaitan. Dalam masa yang sama juga, berlaku perbuatan “menurun” atau dalam bahasa arabnya disebut sebagai tanasuhul arwah (تناسخ الاروح) . Pada hakikatnya adalah satu keadaan yang menyebabkan jin tersebut sebati dalam diri orang yang menurun, dan menguasai perasaan, fikiran, tutur kata dan jasad orang yang berkenaan. Hal ini bertentangan dengan firman Allah S.W.T. dalam Surah Yunus ayat 106 yang bermaksud :

Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudharat kepadamu selain Allah; sebab jika kamu berbuat (yang demikian), itu, Maka Sesungguhnya kamu kalau begitu Termasuk orang-orang yang zalim".

 Dan surah Faatir ayat 6:

“Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagimu, Maka anggaplah ia musuh(mu), karena Sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala”.

 

5. SOALAN:

Bagaimanakah kita hendak mengetahui pengamal perubatan itu mengikut cara Islam atau tidak sedangkan mereka berkopiah, bertudung labuh?

JAWAPAN:

Untuk mengetahui pengamal perubatan itu mengikut kaedah Islam atau tidak, perlu dilihat melalui :

  1. Menggunakan kaedah  Islam seperti membaca ayat-ayat suci Al-Quran,  hadith  dan doa-doa yang warid (yang datang daripada Rasulullah).
  2. Tidak menetapkan upah tertentu.

Tidak ada perbuatan pemujaan menggunakan pertolongan jin dan syaitan .

 

6. SOALAN:

Kisahnya , ketika di institusi pengajian dulu saya terlibat dengan rakan sekelas dalam membeli soalan FINAL EXAM dari sumber yang tidak diketahui untuk lulus ujian ketika itu .Dengan itu saya telah pun mendapat kelulusan dan bekerja hasil menggunakan kelulusan tersebut. Ketika itu saya akui pada masa itu dengan iman yang lemah dan tanggungan dan kesempitan kewangan untuk membayar yuran dan belanja harian sendiri membuat saya membuat kesilapan dalam menentukan benda yang halal dan haram. Keputusan sebelumnya yang tidak memberangsangkan untuk mendapat GPA yang baik memaksa saya membuat keputusan yang agak cetek. Setelah berkahwin, saya semakin mencari sinar agama dan setelah mendekatkan diri dengan Allah, saya  Sekarang sedar yang tindakan saya itu menipu dan sudahpun bertaubat. Permasalahan sekarang adalah punca rezeki saya selepas saya sudah bertaubat.

1. Kalau saya bekerja hasil kelulusan itu, adakah haram selepas saya telah bertaubat? Apakah cara lain dalam menyelesaikan permasalahan ini.

2. Saya memang boleh bekerja dan kebolehan saya diakui oleh pihak atasan menepati keperluan yang dituntut oleh pekerjaaan itu.

3. Apakah tindakan u-turn terbaik untuk saya? Adakah saya perlu banyak besedekah... Tolonglah saya ustaz, moga  jawapan ustaz boleh saya kongsikan dengan kawan saya yang lain terlibat.

JAWAPAN:

Adalah dinasihatkan agar bertaubat dan kita berserah kepada Allah S.W.T. agar menerima taubat di atas apa yang telah dilakukan dahulu. Sentiasalah yakin dan bersangka baik kepada Allah S.W.T. Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan dan dosa, maka sebaik-baik di kalangan mereka adalah yang sentiasa bertaubat kepada Allah S.W.T.

 

7. SOALAN:

Tareqat Naqsyabandi sesat atau tidak?

JAWAPAN:

Ahli Lembaga Mesyuarat negeri Sarawak telah bersidang pada 22 Januari 2002 dan ahli mesyuarat telah sebulat suara memutuskan bahawa :

  1. Tarikat Naqsyabandiah Al-Aliyyah di bawah pimpinan Syeikh Nazim berfahaman dengan fahaman-fahaman Wehdatul Wujud. Martabat Tujuh Nur Muhammad yang bertentangan dengan konsep dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
    1. Tarikat ini berpegang kepada hadis-hadis maudhu’ (palsu/ direka- reka).
    2. Mereka mengamalakan konsep Yaqazah (dapat berkomunikasi dengan Allah S.W.T. dalam mimpi) yang bertentangan dengan fahaman dan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Kumpulan Ahli Tarikat Naqsyabandiah Al- Aliyyah Syeikh Nazim Al-Haqqani pernah melawat Sarawak. Setelah dikaji didapati dalam ajarannya tidak boleh diamalkan oleh orang Islam dan ianya telah diaharamkan oleh kerajaan.

Kesimpulannya ahli mesyuarat bersetuju agar ajaran menyeleweng ini diharamkan.

 

8. SOALAN:

Pada masa sekarang ini, terdapat pelbagai fahaman mahzab. Semua bertujuan untuk mendekatkan diri dengan Allah. Apakah pandangan tuan mengenai fahaman tabligh yang ada sekitar kita pada hari ini? Apakah perlu penyebaran begitu dilakukan oleh ahli-ahli biarpun mereka tidak mempunyai ilmu yang diiktiraf oleh jabatan agama yang ada di Malaysia.

JAWAPAN:

Menurut Keputusan  Mesyuarat Lembaga Fatwa Negeri Sarawak kali Ke -11 laporan kajian mengenai Kumpulan Jemaah Tabligh  bersetuju mengambil keputusan bahawa :

“ Kegiatan Jamaah Tabligh adalah tidak haram dan tidak perlu dibendung.”

Walau bagaimanapun, pergerakan dan aktiviti Jemaah ini mestilah dibawah pengawasan dan pengetahuan Jawatankuasa Masjid yang terlibat.

 

9. SOALAN:

Saya ada kemusykilan tentang penggunaan besi dalam kaki saya.dulu waktu kemalangan kaki saya dimasukkan besi kerana kaki saya patah. Bolehkah saya tidak membuka besi tersebut,kerana saya takut sakit dan tidak sembuh seperti sediakala?

JAWAPAN:

Diharuskan tidak membuka besi tersebut.

 

10. SOALAN:

Saya ingin bertanya mengenai amalan buang peraja (kurang pasti istilahnya) dalam amalan perkahwinan masyarakat Melayu Sarawak. Adakah ia dikira sebagai amalan khurafat ?

JAWAPAN:

Amalan tersebut hendaklah ditinggalkan kerana ada unsur-unsur khurafat (memohon bantuan daripada jin dan syaitan).

 

11. SOALAN:

Bolehkah orang Islam main anjing. Jelaskan?

JAWAPAN:

Tidak dibenarkan memelihara anjing semata-mata sebagai binatang peliharaan (pet) kecuali ada kemaslahatan seperti untuk berburu, menjaga ternakan, menjaga tempat tinggal dan tujuan menjejaki penjenayah (anjing pengesan polis) yang disebut sebagai kalbul muallam (anjing terlatih).

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:

Sesiapa memelihara anjing kecuali untuk menjaga ternakan, berburu dan menjaga lading maka amalannya setiap hari akan dikurangkan dengan satu qiroth (sebesar gunung Uhud)

                           (Hadis Riwayat Muslim)

 

12. SOALAN:

Apakah hukum ataupun ganjaran sekiranya orang bukan Islam menderma untuk pembangunan masjid atau pun surau? Adalah harus hukumnya untuk menerima derma dari orang bukan Islam untuk pembangunan masjid dan surau dan tiada ganjaran pahala bagi mereka (orang bukan Islam)

JAWAPAN:

Dalam satu hadith daripada Anas bin Malik R.A. katanya, Rasulullah S.A.W. bersabda:

“sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah S.W.T. untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”

 

13. SOALAN:

Apakah ibadah yang boleh membantu menguatkan jiwa saya dalam memperjuangkan agama Allah dan memelihara aqidah dengan berkesan?

JAWAPAN:

Puan dinasihatkan supaya memperbanyakkan zikir dan membaca Al-Quran serta banyakkan bersedekah dan amalan-amalan sunat.

 

14. SOALAN:

  1. Apakah kedudukan Tahlil dalam Islam.
  2. Adakah tiap kali bertahlil itu perlu disediakan makanan.
  3. Apakah boleh seseorang yang dalam perjalanan yang agak jauh sambil memandu dia bertahlil?

JAWAPAN:

  1. Bertahlil khusus kerana sesuatu kematian seperti yang diamalkan oleh umat Islam hari ini adalah amalan yang tidak pernah sabit seperti itu dari Rasulullah S.A.W. akan tetapi membaca Al-Quran seperti yang terdapat dalam amalan tahlil untuk diri sendiri sama ada orang perseorangan atau beramai-ramai serta zikrul Allah (tahlil) adalah amalan sunat, adapun doa di akhir tahlil yang berkenaan kepada si mati adalah sunat malah digalakkan.
  2. Menyediakan makanan ketika bertahlil jika tidak menggunakan harta si mati yang belum dijelaskan kewajipannya, tidak terpaksa berhutang dan membebankan keluarga si mati  adalah harus. Jika dengan niat sedekah hukumnya sunat.
  3. Digalakkan berzikir dan mengingati Allah S.W.T. setiap masa dalam apa jua keadaan. Walau bagaimanapun jika berzikir tersebut menganggu tumpuan ketika memandu hendaklah mengutamakan keselamatan terlebih dahulu.

 

15. SOALAN:

Wang dan hadiah peraduan atau pertandingan. Statusnya dalam syarak.

JAWAPAN:

Wang dan hadiah peraduan yang tidak menyalahi syarak adalah harus diterima. Para fuqaha' bersepakat bahawa hukum asal pertandingan adalah harus selagimana tidak melibatkan unsur perjudian, penipuan dan keraguaan.

Firman Allah SWT dalam surah al - Maidah ayat 90:

“Wahai orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

Ulama telah meletakkan beberapa syarat yang wajib dihindari supaya sesuatu peraduan itu tiada unsur judi seperti berikut:

  • Tidak berlaku persetujuan antara penganjur dengan mana - mana syarikat sebagai satu cara untuk mereka mendapat keuntungan.
  • Peraduan itu tidak mengenakan bayaran untuk disertai sama ada bayaran itu dengan cara tertentu atau melalui pertambahan kos perbualan jika peraduan itu diadakan melalui telefon.
  • Peraduan itu mestilah dalam perkara yang berfaedah dan bukan yang sia-sia.
  • Peraduan itu bukan bertujuan untuk mengambil harta orang ramai yang menyertainya kerana berharap kepada hadiah yang lumayan seterusnya membawa kepada pembaziran wang atau harta.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MJFK) kali ke 64 pada 27 Julai 2004 berkenaan Hukum peraduan SMS dan menyertainya menurut pandangan Islam, telah memutuskan bahawa :

Peraduan kuiz melalui SMS dan seumpanya adalah mengandungi unsur-unsur eksploitasi, kesamaran (tidak jelas), pertaruhan nasib yang tergolong dalam pengertian judi. Oleh itu hukum peraduan kuiz tersebut adalah haram di sisi syarak.

 

16. SOALAN:

Emas kuning adalah haram penggunaanya untuk lelaki pada hukum syarak...bagaimana pula dengan emas putih adakah ianya juga haram?

JAWAPAN:

Ali bin Abu thalib R.A. berkata :

Rasulullah s.a.w mengambil sutera , ia letakkan di sebelah kanannya, dan ia mengambil emas kemudian diletakkan disebelah kirinya, lantas ia berkata : kedua ini haram buat orang lelaki dari umatku.

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Nasa'i, Ibnu Hibban dan Ibn Majah)

Berdasarkan hadis di atas jelas bahawa haram bagi lelaki memakai emas dan sutera.

Dalam permasalahan hukum emas putih adalah berdasarkan kadungan logamnya, jika logamnya dari jenis yang sama dengan emas kuning maka hukumnya adalah sama.

 

17. SOALAN:

Adakah benar tiap-tiap ayat dalam Al-Quran itu terdapat khadam yang menjaganya? Apakah perlunya khadam ini?

JAWAPAN:

Tidak ada nas yang mengatakan bahawa setiap ayat Al-Quran itu mempunyai khadam atau penjaganya.  Al-Quran itu merupakan kalam Allah dan Allah sendiri yang akan menjaganya.

Firman Allah S.W.T.. bermaksud:

Sesungguhnya Al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi  berita gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”                        

 (Surah Al-Isra’ ayat 9)

Sabda Rasulullah S.A.W.  bermaksud:

Aku tinggalkan kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunnahku.

(Riwayat Abu Daud)


< Kembali